KANAK-KANAK menyejukkan diri dengan mandi di dalam kolam ketika cuaca panas di Manila. FOTO AFP
KANAK-KANAK menyejukkan diri dengan mandi di dalam kolam ketika cuaca panas di Manila. FOTO AFP
AFP

Hong Kong: Gelombang haba yang memecahkan rekod di Asia, mendorong kepada permintaan tinggi peralatan penyejukan termasuk penyaman udara.

Unit ekzos AC ialah ciri umum penyaman udara yang menjadi landskap di kebanyakan kediaman bandar di Asia.

Peralatan itu kerap dilihat pada blok pangsapuri di Hong Kong, atau di antara tingkap bangunan di Kemboja.

Barangan itu melegakan orang ramai daripada suhu panas yang memecahkan rekod dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan banyak negara di rantau ini mencecah 40 darjah Celsius atau lebih tinggi.

Saintis sekian lama memberi amaran, perubahan iklim yang disebabkan manusia akan menghasilkan gelombang haba yang lebih kerap, lebih lama dan lebih kuat.

Ramalan menjangkakan, suhu lebih tinggi dan gaji yang lebih baik boleh menyaksikan bilangan unit penyaman udara di Asia Tenggara melonjak daripada 40 juta pada 2017 kepada 300 juta menjelang 2040.

Itu akan meningkatkan penggunaan tenaga elektrik.

Myanmar hanya mengeluarkan kira-kira separuh daripada tenaga elektrik yang diperlukan setiap hari dengan junta menyalahkan kuasa hidro yang lemah kerana hujan yang sedikit, hasil gas asli rendah dan serangan pihak lawannya terhadap infrastruktur.

Thailand menyaksikan permintaan kuasa tertinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, apabila orang ramai memilih untuk berada di dalam bangunan.

Hanya 15 peratus rumah di Asia Tenggara mempunyai penyaman udara, menurut laporan 2019 Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Penyaman udara menyebabkan pelepasan kira-kira satu bilion tan metrik karbon dioksida setahun, menurut IEA, daripada jumlah 37 bilion yang dikeluarkan di seluruh dunia.

Namun, pilihan penyejukan seperti penyaman udara adalah cara utama untuk melindungi kesihatan manusia, terutama bagi mereka yang paling terdedah kepada kesan haba melampau seperti kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang upaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 12:08 PM