TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (depan tiga dari kanan) dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad (depan dua dari kanan) menyampaikan sumbangan #nafasprihatin kepada mangsa banjir di Pekan, Pahang,
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (depan tiga dari kanan) dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad (depan dua dari kanan) menyampaikan sumbangan #nafasprihatin kepada mangsa banjir di Pekan, Pahang,
PENGERUSI NAFAS Datuk Seri Saipolbahari Suib (kanan) menyampaikan sumbangan makanan #nafasprihatin kepada mangsa banjir di Muar, Johor, baru-baru ini.
PENGERUSI NAFAS Datuk Seri Saipolbahari Suib (kanan) menyampaikan sumbangan makanan #nafasprihatin kepada mangsa banjir di Muar, Johor, baru-baru ini.
Mohamad Hussin

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyediakan peruntukan bagi Program Bantuan Banjir (PBB), #nafasprihatin.

Ia bagi membantu meringankan penderitaan mangsa banjir terutama di kawasan terjejas yang membabitkan warga peladang.

Timbalan Pengurus Besar (Perkhidmatan) NAFAS Mohamad Yazif Fadil berkata, setakat ini 2,000 kit makanan diagihkan kepada mangsa di empat negeri terjejas banjir iaitu Johor, Pahang, Perak dan Selangor.

Beliau berkata, setiap kit mengandungi makanan segera seperti biskut, makanan dalam tin, beras dan makanan kering jenama Peladang bernilai RM100.

“Selain bantuan kit makanan, #nafasprihatin turut membantu kerja pasca banjir membersihkan kawasan rumah mangsa, surau dan premis terjejas.

“Kami sangat bersimpati dengan nasib mangsa banjir di negeri yang terjejas ini. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan penderitaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian di Ibu Pejabat NAFAS di Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Mohamad Yazif yang juga komander mengetuai misi bantuan #nafasprihatin berkata, program kali ini membabitkan 45 kakitangan NAFAS yang menjadi sukarelawan.

“NAFAS memulakan operasi di bilik gerakan pertengahan Disember tahun lalu dan selesai pengagihan pada 14 Februari lalu.

“Kami sentiasa berkomunikasi dengan ahli peladang melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkenaan perkembangan situasi banjir dan bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, selain memberi fokus kepada bantuan ahli Peladang, NAFAS turut memberi sumbangan kepada mangsa banjir yang lain.

“NAFAS melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membekalkan ayam mentah untuk dimasak di pusat pemindahan mangsa banjir.

“Misi bantuan #nafasprihatin yang dilancarkan sejak banjir besar pada tahun 2014 itu akan diteruskan dengan menyediakan pelbagai bantuan kemanusiaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 10:11 AM