MICHELLE Yeoh turut turun padang menyertai kerja pembersihan pasca banjir di Taman  Sri Muda.
MICHELLE Yeoh turut turun padang menyertai kerja pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda.
Najiy Jefri

Banjir yang melanda beberapa negeri minggu lalu memberi tamparan dan dugaan kepada setiap keluarga yang terjejas.

Lebih memilukan,  angka korban di Selangor, Pahang dan Kelantan mencecah 41 mangsa sekali gus merekodkan jumlah paling tinggi sejak banjir besar pada 2014. 

Melihat keadaan yang berlaku, kita dapat saksikan banyak dalam kalangan  badan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang perseorangan seperti selebriti tempatan misalnya yang tidak terkecuali menghulurkan bantuan.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza antara individu terawal yang dilihat mengambil langkah pantas apabila turun padang dan membeli barangan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terjejas di sekitar Shah Alam.

Begitu juga pelawak Achey dan Fad Bocey yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan membawa barangan berbentuk makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Pelawak dan pelakon popular, Harith juga antara yang terawal dengan membawa bot membantu penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam keluar dari kediaman mereka. 

Malah, pelakon Fazreen Rafi juga tidak ketinggalan mengumpul rakan terdekat untuk menjadi sukarelawan bagi memudahkan proses pembersihan di rumah yang terjejas.

Bukan hanya itu, penyanyi muda Ismail Izzani bersama beberapa rakan rapatnya turut turun padang menghulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan.

Ismail dilihat membawa barangan keperluan dan mengedarkannya kepada penduduk di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat. Selain itu, dia juga turut membantu membersihkan rumah penduduk dan surau di kawasan itu. 

Selain itu,  penyampai radio Suria FM iaitu Sharifah Shahirah pula menggunakan platform media sosial sebaik mungkin bagi berkongsi maklumat berkaitan kepada orang ramai.

Berdasarkan tinjauan di Instagram, Shahira atau lebih mesra disapa Shiera sentiasa berkongsi maklumat berkaitan banjir serta jenis bantuan yang diperlukan.

Malah, rumah Shiera juga dijadikan pusat transit barang bantuan mangsa banjir yang dihulurkan pengikut serta rakan artis yang meminta untuk merahsiakan sumbangannya.

Bagi pengacara Neelofa, dia  tidak ketinggalan menggunakan laman Twitter dengan berpesan supaya menghubungi talian hotline Pertubuhan Kasih Neelofa jika terkesan dengan musibah banjir yang melanda.

Begitu juga dengan pelakon Fizz Fairuz, akaun Instagramnya juga digunakan untuk menyebarkan maklumat tentang mereka yang masih terkandas dan memerlukan pertolongan akibat banjir. 

Siapa sangka, dalam kegusaran memikirkan keadaan keluarga di Filipina yang dilanda taufan minggu lalu, Mark Adam tetap meneruskan kerja amal turun padang membantu mangsa banjir di sekitar Lembah Klang.

Katanya, pengalaman melalui bencana alam ketika di kampung kelahiran menguatkan keinginan meringankan beban individu lain yang berdepan kesulitan disebabkan banjir.

Apa yang membuatkan penulis lebih kagum adalah semangat pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh turut hadir menyertai kerja pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda.

Beliau yang turut ditemani hartawan ternama, Tan Sri Vincent Tan mengambil peluang sempena cuti perayaan Krismas untuk membantu golongan yang terkesan akibat bencana terbabit.

Jika diikutkan ramai lagi selebriti yang turun padang menghulurkan bantuan dan penulis begitu kagum dengan semangat juang mereka yang tolak tepi hal kerja semata-mata mahu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Mereka ini bukanlah hanya sekadar mahu dilihat cantik dan glamor sahaja, tetapi mereka sanggup bersama rakyat dan membuat kebaikan bersama.

Justeru kita janganlah sentiasa mencari salah golongan ini kerana mereka mempunyai hati nurani yang murni dan baik tanpa kita sedari.

Jadi sama-samalah kita berganding bahu dan saling membantu bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir yang kehilangan harta benda hanya dalam sekelip mata. 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada selebriti yang tidak putus menghulurkan bantuan dan masih aktif turun padang membantu keluarga yang terjejas.

Tidak dilupakn terima kasih kepada NGO atau individu persendirian  yang menggunakan wang poket sendiri semata-mata mahu membantu rakyat yang terjejas.

Terima kasih diucapkan. Semoga segala kebaikan anda akan dibalas dengan ganjaran pahala yang lumayan oleh Yang Maha Esa.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 7:00 AM