Sukarelawan OPA memberi bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Sungai Lui. FOTO ihsan pembaca.
Sukarelawan OPA memberi bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Sungai Lui. FOTO ihsan pembaca.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Biarpun bencana banjir sudah berlaku sejak seminggu lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih meneruskan bantuan kemanusiaan termasuk di kawasan sukar diakses.

Ia bertujuan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang terjejas terutama di kawasan pedalaman.

Aktivis daripada Persatuan Bekas Pelajar Maktab Tentera Diraja (OPA), Razi Pahlavi Abdul Aziz, berkata pihaknya memfokuskan kepada bantuan makanan dan keperluan asas termasuk alatan memasak serta alas tidur kepada penduduk yang terjejas di sekitar Sungai Lui sejak beberapa hari lalu.

Katanya, bantuan itu disalurkan terutamanya kepada penduduk sekitar sekolah, keluarga murid dan guru yang dilanda banjir, termasuk keluarga Orang Asli sekitar kawasan itu.

"Kami terdiri daripada 30 orang sukarelawan membantu secara bergilir-gilir di beberapa lokasi yang sukar diakses.

"Buat masa ini bantuan kepada mereka hanya dapat disalurkan termasuk melalui pendaki yang mendaki ke penempatan Orang Asli ini dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, mereka akan membantu mangsa banjir di Chenor, Pahang bermula Jumaat ini susulan keadaan yang teruk di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Intelek Muda Nasional (Intelek) Mohammad Fadly Mohd Zain berkata, pihaknya terus membantu penduduk di sekitar Bukit Changgang, Banting yang terjejas akibat bencana itu.

Katanya, enam sukarelawannya berada di kawasan terjejas sejak hari pertama banjir minggu lalu bagi membantu sedaya mungkin, berdasarkan maklumat yang diterima.

"Setakat ini sebanyak 22 rumah sudah pun dibersihkan dengan kerjasama Amal Revival Care di sekitar Bukit Changgang dan Sri Muda.

"Insya-Allah kami akan teruskan sehingga keadaan kembali pulih dan mangsa dapat meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:17 PM