SEBAHAGIAN mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
SEBAHAGIAN mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) khas dibuka di negeri ini bagi menempatkan mangsa banjir yang disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong berkata, semua PPS khas itu dibuka bermula Khamis lalu turut menempatkan mangsa banjir yang menjadi kontak rapat.

Menurutnya, ia membabitkan empat PPS di Kuala Terengganu; tiga PPS di Kemaman, tiga PPS di Besut serta masing-masing dua PPS di Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

"Setakat ini, terdapat seramai 49 pesakit yang disahkan positif manakala 78 lagi adalah kontak rapat yang ditempatkan di kesemua PPS khas ini.

"Mereka yang positif Covid-19 ini berada pada kategori satu dan dalam keadaan baik. Kita sentiasa memantau tahap kesihatan mereka," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, kesemua yang positif Covid-19 itu adalah mereka yang menjalani kuarantin di rumah dan dibawa terus ke PPS khas selepas kawasan kediaman masing-masing terjejas akibat banjir.

Katanya, tiada kes positif yang direkodkan di PPS setakat ini dan pihaknya berharap semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 5:18 PM