HALIMATON (kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir Mariani Saad di Kampung Sungai Petani. FOTO DANIAL SAAD
HALIMATON (kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir Mariani Saad di Kampung Sungai Petani. FOTO DANIAL SAAD
Izad Thaqif Hassan


Kubang Pasu: Dua keluarga positif Covid-19 masih dalam kuarantin antara mangsa banjir di sembilan kampung sekitar Mukim Temin, Sungai Laka dan Hosba dekat Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Dua keluarga terbabit yang juga penduduk di Kampung Nongmi kini berada di rumah masing-masing kerana air semakin surut, namun diarah berpindah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) jika banjir terus melanda.

Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga mengasingkan penduduk didapati positif Covid-19 daripada mangsa banjir lain.

"Jika perlu dipindahkan, individu posiiif akan dipindahkan ke PKRC Dewan Wawasan Jitra dan bagi yang mempunyai kontak rapat pula, kita akan menyediakan PPS khas untuk mereka.

"Selain itu, kita akan memastikan dua keluarga disahkan positif terbabit supaya tidak bercampur dengan mangsa banjir lain bagi mengelak berlakunya penularan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyerahkan sumbangan mangsa banjir di Kampung Sungai Petani dan Kampung Changkat Setoi, di sini.

Halimaton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat persediaan bagi memastikan mangsa banjir selesa ketika berada di PPS.

Beliau berkata, pihaknya mendapati berlaku masalah kekurangan bantal bagi mangsa banjir di PPS dan keadan itu akan diatasi.

Sementara itu, Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setiap mangsa banjir yang berada di PPS akan diperiksa pasukan perubatan di pusat itu.

Beliau berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan dapat mengawal penularan Covid-19 ketika menghadapi banjir yang kerap melanda sejak kebelakangan ini.

"Namun, setakat ini masih tiada sebarang kes jangkitan membabitkan penularan Covid-19 di PPS di negeri ini," katanya.

Untuk rekod, dua PKRC iaitu di Dewan Wawasan Jitra dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Kulim masih dibuka di Kedah bagi menempatkan pesakit Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:02 PM