Abdul Bari (kiri) ketika melawat mangsa banjir di PPS Dewan Tun Abdul Razak. FOTO Safuri Kamarudin.
Abdul Bari (kiri) ketika melawat mangsa banjir di PPS Dewan Tun Abdul Razak. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin


SERAMAI 49 penduduk Kampung Bendang Sera di Baling yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) akibat banjir kilat sejak 9 malam semalam, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, hari ini.

Mereka terdiri daripada 11 keluarga sebelum itu ditempatkan di Dewan Tun Abdul Razak.

Pegawai Daerah Baling, Abdul Bari Abdullah berkata, hujan lebat yang melanda Baling sejak petang semalam menyebabkan 12 kampung dinaiki air.

"Hanya 11 keluarga yang berpindah kerana penempatan mereka dilimpahi air Sungai Ketil setinggi satu meter.

"Kita arah mereka berpindah segera kerana bimbang kejadian buruk berlaku pada waktu malam," katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS berkenaan, hari ini.

Katanya, mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila cuaca semakin baik dan air mulai surut.

"Bagaimanapun, sekiranya banjir kilat berulang, kita arahkan mereka berpindah segera ke PPS disediakan," katanya.

Seorang mangsa banjir, Rokiah Hamid, 62, berkata, dia hanya sempat menjamah murtabak dan minum kopi sahaja kerana limpahan air cepat.

"Saya dan suami bergegas keluar ke tempat selamat kerana air terlalu deras selain bimbang terperangkap memandangkan cuaca gelap ketika itu, dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 1:30 PM