BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun pasukan penyelamat terbabit operasi pengurusan banjir menggerakkan aset dalam kejadian di Selangor pada 18 Disember lalu, beberapa kekangan menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk kesukaran bot penyelamat bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan tenggelam di kawasan terjejas.

"...bermula pada petang Sabtu, 18 Disember 2021, PDRM (Polis Diraja Malaysia), JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sebenarnya sudah menggerakkan pasukan masing-masing bagi memindahkan mangsa.

"Namun demikian, kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan, sehingga ada keadaan aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerangkan situasi bencana banjir pertengahan Disember 2021 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata, suasana semakin gelap dan terdapat ramai mangsa masih enggan meninggalkan kediaman mereka ketika itu menyumbang kepada kelewatan operasi pemindahan.

"Mahu menyelamatkan harta benda, jarak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan Covid-19 di PPS menjadi antara alasan penduduk enggan untuk berpindah.

Antara aset JBPM yang digunakan untuk operasi pengurusan banjir. FOTO ARKIB NSTP
Antara aset JBPM yang digunakan untuk operasi pengurusan banjir. FOTO ARKIB NSTP

"Kelewatan kerja menyelamat turut disebabkan alamat rumah diberikan pemanggil tidak dapat dikenal pasti, kerana sudah ditenggelami air.

"Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri pula berhadapan dengan kesukaran kerana tidak arif dengan selok belok kawasan ditenggelami banjir dan memerlukan jurupandu," katanya.

Selain itu, beliau berkata sekolah dan fasiliti diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air, justeru PPS 'adhoc' diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid, malah khemah sementara didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa banjir.

"Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan.

"Inilah antara cabaran dihadapi pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana luar biasa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:47 PM