Tinjauan warga asing berniaga d kaki lima di Jalan 2/3A berhampiran Pasar Borong Selayang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Tinjauan warga asing berniaga d kaki lima di Jalan 2/3A berhampiran Pasar Borong Selayang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Warga asing kini menjadikan kawasan premis di luar Pasar Borong Kuala Lumpur sebagai tempat untuk mereka menjalankan perniagaan selepas tidak dibenarkan beroperasi di pasar berkenaan sejak dua tahun lalu.

Tinjauan di Jalan 2/3a di sini mendapati hampir keseluruhan premis di kawasan terbabit adalah dikendalikan warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan China selain etnik Rohingya.

Difahamkan mereka menyewa premis terbabit dengan harga RM7,000 hingga RM15,000 sebulan bagi menjalankan perniagaan membekal sayur-sayuran, barangan basah dan buah-buahan.

Deretan bangunan kedai empat tingkat berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur itu turut dijadikan kediaman mereka dan sikap tidak menjaga kebersihan menyebabkan kawasan persekitaran kotor dan berbau busuk.

Wartawan turut memasuki beberapa premis yang didakwa milik warga asing yang menjual pelbagai barang mentah.

Seorang warga asing yang ditemui mendakwa mereka hanya pekerja di premis berkenaan dan bukan memiliki perniagaan terbabit.

Namun ketika ditanya mengenai pemilik sebenar perniagaan, mereka mengelak seolah-olah menyembunyikan pemilik sebenar perniagaan.

Pemborong sayur, Mohd Luthfi Shahid,43 berkata, kebanyakan premis terbabit memang dimiliki dan dijalankan warga asing berkenaan.

"Mereka mula aktif selepas tidak dapat berniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan sanggup menyewa premis dengan harga tinggi berikutan keuntungan yang tinggi.

"Pasaran bahan mentah juga dilihat dikawal oleh golongan ini menyebabkan aktiviti di Pasar Borong Kuala Lumpur sedikit terjejas," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, tindakan warga asing menjadikan premis di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur sebagai tempat penjualan mereka disebabkan tidak dapat masuk ke pasar berkenaan.

"Berikutan sekatan yang dikenakan terhadap mereka, mereka kini menyewa premis-premis di luar pasar dan menjalankan perniagaan mereka.

"Setakat ini semua pekerja dan penyewa di pasar adalah terdiri dari warga tempatan sejak pandemik yang melanda negara," katanya.

Menurutnya, pihak penguatkuasa disarankan melakukan operasi di premis luar pasar bagi melihat sendiri kegiatan warga asing berkenaan.

"Kami dan beberapa persatuan lain mengutarakan masalah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan harap mereka lebih agresif membanteras kegiatan warga asing terbabit," katanya.

"Kami tidak mahu apabila tapak warga asing semakin mengukuh, peniaga tempatan pula akan terhimpit di bumi sendiri untuk mencari sesuap nasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 3:55 PM