Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Seorang ayah meraung selepas tidak dapat menahan kesedihan apabila mayat anaknya ditemui lemas di Sungai Sembulan berhampiran jambatan pusat beli belah Imago, di sini, jam 2.40 petang tadi.

Mayat Sefdeisen Seplin, 12, ditemui anggota bomba dan orang ramai berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang pada jam 12 tengah hari tadi.

Bapa mangsa, Seplin Lais, 47, terpaksa ditenangkan anggota bomba dan polis sebelum dibawa ke tebing sungai.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa mengikuti ayahnya memukat ikan sebelum hilang dipercayai terjatuh dalam sungai.

Ibu mangsa Nuneh Abidi, bersama seorang lagi anaknya Fictor Seplin, 7, turut berada di lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Kamarudin Sabanah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.41 petang daripada orang, seramai enam anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Selepas hampir sejam operasi mencari dan menyelamat akhirnya mangsa ditemui pada kedalaman kira-kira tiga meter di bawah jambatan Imago.

"Mangsa kemudian dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu serta Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 3:54 PM
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO Mohd Adam Arinin
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO Mohd Adam Arinin