MAYAT mangsa ditemukan 7 malam tadi. FOTO ihsan bomba
MAYAT mangsa ditemukan 7 malam tadi. FOTO ihsan bomba
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Warga emas yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris, petang kelmarin, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mayat Mohammad Ishak, 70, ditemukan pada 7 malam tadi pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Katanya, polis menerima laporan daripada orang awam ternampak mayat tersangkut pada pokok di sungai berdekatan lokasi mangsa terjatuh.

"Sebaik menerima laporan itu, polis dan anggota bomba ke lokasi dan mengangkat mayat pada jam 7.15 malam.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan.

Media semalam melaporkan, mangsa memberitahu anaknya mahu pergi ke Pengkalan Lan bagi melihat sampan.

Anak mangsa kemudian ke Pengkalan Lan apabila bapanya tidak pulang ke rumah selepas dua jam dan mendapati motosikal serta barang milik lelaki itu berada di tepi sungai.

Anak mangsa membuat laporan di Balai Polis Dabong pada 10 malam berhubung kehilangan bapanya yang turut menghidap penyakit jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 9:34 PM