GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail


LELAKI dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di Sungai Lebir, Pengkalan Kampung Tualang di Kuala Krai, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa Muhammad Faiz Maimun, 31, bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang selepas memancing.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, bot yang dinaiki terbalik sebelum mangsa dilaporkan hilang

Dua lagi rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan 8.12 malam.

“Lapan pegawai dan anggota yang diketuai Komander Operasi Che Razak Che Harun dengan bantuan BBP Sungai Durian kemudian terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum tiba 8.40 malam.

“Operasi pencarian di permukaan sungai terus dijalankan di sekitar lokasi kejadian namun mangsa tidak ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi ditangguhkan 10.46 malam berikutan faktor cuaca.

“Operasi mencari dan menyelamat disambung pada pagi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 8:17 AM