Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Umno walaupun terdapat perbezaan pandangan antara kedua-dua parti berkenaan.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak pernah menutup ruang kerjasama bersama Umno dan sentiasa berharap kerjasama antara kedua-duanya tetap utuh.

"Tiada yang mustahil dalam politik, Bersatu asal daripada Umno (dan) dalam Pas pun ada orang asal Umno yang masuk Pas.

"Pas juga bukan kali pertama (bekerjasama) dengan Umno, masa nak merdeka kita pernah bekerjasama, kita terima konsep Islam agama, negara dalam perlembagaan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas tidak bermusuh dengan mana-mana parti dan menyertai pilihan raya secara demokrasi.

"Kita kerjasama dengan orang yang boleh kita kerjasama (iaitu) kerjasama yang adil, kerjasama yang baik dan tema kita ialah memilih wakil rakyat yang bersih daripada rasuah dan salah laku.

"Kita mengajak kepada perpaduan ummah dan harap begitu (kerjasama Pas dan Umno) berlarutan sehingga PRU (Pilihan Raya Umum).

"Kalau berlaku lain (sebaliknya), ada tindakan lain," katanya.

Abdul Hadi selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang hari ini. Foto Ghazali Kori
Abdul Hadi selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang hari ini. Foto Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 3:13 PM