Baharom Bakar


Marang: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dalam urusan pentadbiran negara.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah menjalankan tugas beliau dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, Ismail Sabri mempunyai kuasa untuk melantik timbalannya jika ada keperluan.

"Terpulang kepada Perdana Menteri sama ada untuk melantik timbalannya kerana dia ( Ismail Sabri) yang menjalankan tugas.

"Tetapi setakat ini kita dapati Ismail Sabri berjaya menjalankan tugas dengan baik... bukan saya yang menjalankan tugas. Jika dia (Ismail Sabri) rasa perlu, dia boleh lantik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan kediamannya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditanya apakah ada keperluan negara untuk melantik Timbalan Perdana Menteri.

Ketika mengulas mengenai spekulasi rombakan Kabinet, Abdul Hadi berkata, kebiasaannya Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan sebelum memutuskan untuk melakukan rombakan Kabinet.

"Saya tidak mendengar akan berlakunya rombakan Kabinet dan saya anggap ianya hanyalah berita angin.

ABDUL Hadi (dua kanan) selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini. FOTO Baharom Bakar
ABDUL Hadi (dua kanan) selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini. FOTO Baharom Bakar

"Pada pandangan saya, semua menteri sudah menjalankan tugas dengan baik dan tidak perlu kepada rombakan Kabinet," katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun menegaskan Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melakukan rombakan Kabinet termasuk bertujuan melakukan penambahbaikkan.

"Terpulang kepada Perdana Menteri, tetapi sehingga kini tidak nampak perlu kepada rombakan Kabinet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 1:43 PM