Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi Awang.
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pas kekal dengan pendirian parti itu untuk tidak bekerjasama sekali lagi dengan PKR.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sudah mempunyai pengalaman bekerjasama dengan PKR dan DAP sebelum ini, justeru tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Menurutnya, Pas tidak akan sesekali bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang mahu menyelamatkan individu atau kumpulan, sebaliknya membina kerjasama bersama parti untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

"Kita kini fokus dalam menyelamatkan rakyat dan negara menerusi kerjasama antara Umno dan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

"Jadi rasanya cukup (kerjasama Pas dan PKR), dia (PKR) lemas, jadi biar dia selesaikan masalah mereka dan kita di PN berada dalam keadaan selamat.

"Kerjasama kita di PN semakin hari semakin kuat dan kerjasama kita yang baharu adalah Bersatu dan Umno termasuk rakan-rakan di Sabah dan Sarawak serta parti-parti yang bergabung dengan PN," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah secara atas talian di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Umno, Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia terpulang pada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Umno.

"Itu terpulang pada dia, bukan parti saya kerana kita negara demokrasi dan dia boleh bekerjasama dengan mana-mana parti yang berdaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 3:15 PM