Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Eizairi Shamsudin
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja dan Thailand dari 23 hingga 26 Februari ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan itu atas undangan rakan sejawatannya dari Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-o-cha.

Semasa lawatannya ke Kemboja pada 23 hingga 24 Februari, Ismail Sabri dijadual menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni dan mengadakan pertemuan dengan Hun Sen.

"Kedua-dua pemimpin akan membincangkan inisiatif untuk mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Kemboja termasuk kerjasama pasca Covid-19, kerjasama Asean serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama," menurut kenyataan itu.

Ismail Sabri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja selain bertemu Keluarga Malaysia yang berada di Kemboja.

Semasa lawatan ke Thailand pada 24 hingga 26 Februari, Ismail Sabri bakal mengadakan pertemuan dengan Prayuth, sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.

"Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik Covid-19, pembukaan sempadan dan kesalinghubungan di kawasan sempadan darat antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia–Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok.

Lawatan ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat serta menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran dan rakan Asean itu.

"Ia dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca pandemik serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa," menurut Wisma Putra.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif serta pegawai kanan kerajaan.

Lawatan itu diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 ditetapkan kerajaan Malaysia, Kemboja dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 5:30 PM