Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Vietnam bermula esok hingga 22 Mac.

Lawatan berkenaan diadakan atas jemputan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam Pham Minh Chinh.

Sempena lawatan berkenaan, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Minh Chinh bagi menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021-2025 Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam.

Kedua-dua pemimpin berkenaan akan bertukar pandangan berhubung isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Pada masa sama, kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran dokumen termasuklah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Aktiviti Kerjasama Undang-Undang dan MoU mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja.

Malaysia dan Vietnam turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang latihan diplomatik yang akan dizahirkan melalui satu Surat Niat.

Di samping itu, satu Perjanjian Kerjasama Profesional antara Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Vietnam akan turut dimeterai.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Presiden Vietnam dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam.

Ismail Sabri juga akan mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Malaysia dan bertemu dengan Keluarga Malaysia di Vietnam.

Lawatan Rasmi ini mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia – Vietnam selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN.

Kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 8:03 PM