GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) disarankan supaya lebih teliti dengan bank data soalan peperiksaan supaya tidak dikritik dan menjadi pertikaian ibu bapa.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, peperiksaan sama ada lisan atau tulisan bertujuan untuk mengetahui serta mencungkil pemikiran pelajar atau murid mengenai sesuatu perkara berkaitan ilmu, kemahiran dan sikap yang dipelajari.

"Tentunya soalan ditanya perlu relevan dan berkaitan mengenai jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah pelajar berkaitan.

"Saya percaya sepatutnya soalan yang dikemukakan perlunya sesuai dengan dunia realiti semasa serta tidak terawang-awangan yang belum tercapai atau belum sesuai masa untuk diberi fokus kepada pelajar," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas isu yang kini tular di media sosial mengenai soalan peperiksaan lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bahasa Melayu mengenai 'Apa perkahwinan idaman anda?'.

Di sebalik komitmen KPM mahu menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kurikulum dalam kalangan pelajar, soalan lisan seperti yang ditularkan itu menimbulkan pertikaian ibu bapa dan warganet

Dr Mohamad Ali berlata, LPM diharapkan lebih teliti dengan bank data soalan untuk sesuatu peperiksaan supaya ia tidak menjadi 'cemuhan' warga tempatan dan peringkat antarabangsa.

Harian Metro cuba mendapatkan komen Kementerian Pendidikan (KPM) namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diberikan.

Dalam pada itu, Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, beliau tidak menyangka ada soalan peperiksaan lisan SPM seperti itu yang memerlukan remaja berusia 17 tahun memikirkan soal perkahwinan.

"Namun, memandangkan isu ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa dan pelajar, LPM harus memberikan penjelasan yang jelas mengapa mereka memilih soalan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 5:48 PM