Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, tekun menjawab soalan SPM awal minggi ini. - Foto Fail
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, tekun menjawab soalan SPM awal minggi ini. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan menafikan pembabitan orang dalam berhubung viral palsu berita kebocoran soalan kertas sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan calon perlu menduduki semula pada 8 Disember ini.

"Ini bukan perbuatan orang dalaman, saya percaya mereka yang bekerja dengan kementerian tidak akan membuat perkara sebegini.

"Hasrat penyebar maklumat palsu itu sangat kejam. Penyebar itu menyebabkan minda ratusan pelajar terganggu. Dia suka melihat orang lain merana," kata Kamalanathan selepas pelancaran Program Patrol Denggi 2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat wakil Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini berhubung perkara itu dan percaya penyebar berita berkenaan akan dikenal pasti seterusnya tindakan dapat diambil terhadapnya.

Rabu lalu, berita kebocoran kertas sejarah SPM menjadi viral di media sosial dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudian menafikan kebocoran kertas peperiksaan itu pada hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 6:19 PM