Rohani ketika mengajar matematik tambahan pada program DidikTV.
Rohani ketika mengajar matematik tambahan pada program DidikTV.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Awak takkan fail (gagal), percayalah." Itu kata-kata positif seorang guru yang sering dilontarkan kepada pelajarnya untuk lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Malah, tidak hairan, kata-kata semangat guru Matematik Tambahan Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Rohani Md Nor, 56, turut menjadi tular di media sosial selepas kemunculannya di program DidikTV Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) minggu lalu.

Rohani yang pernah menerima anugerah Guru Cemerlang Matematik Tambahan pada 2003 berkata, dia tidak sangka teknik pengajarannya di DidikTV menjadi tumpuan sehingga tular di media sosial terutama Twitter.

"Itulah karakter sebenar saya ketika mengajar pelajar, sedikit 'gila-gila'.

"Sebagai guru Matematik Tambahan saya perlu bijak menarik perhatian pelajar untuk menyukai subjek sukar ini," katanya kepada Harian Metro.

Dia yang berpengalaman mengajar subjek itu sejak 1994 berkata, sesiapa yang pernah mengambil Matematik Tambahan akan tahu kesukaran subjek itu berbanding Matematik Moden.

"Saya tidak boleh menggunakan kaedah biasa untuk tarik minat pelajar, saya terpaksa mengolah pelbagai kaedah supaya mereka tidak rasa begitu sukar subjek ini.

"Pelajar saya memang mengetahui karakter saya, saya boleh jadi garang, serius dan baik kepada mereka," katanya.

Ibu empat anak ini berkata, minatnya mengajar sejak muda tidak pernah dirasakan sebagai beban dan menganggap setiap pelajarnya seperti anak sendiri.

"Addmath (matematik tambahan) ini susah, dia bukan subjek bila baca dan kita pusing (soalan) sikit boleh jawab.

"Subjek ini komplek walaupun latih tubi 100 soalan, tapi kalau pusing sikit soalan dah tak boleh jawab, jadi pentingnya saya mengajar kaedah berkesan kepada calon SPM subjek ini kerana masa siaran diberikan hanya satu jam," katanya.

Ditanya cabaran dialami sebagai pendidik di DidikTV berikutan ada guru dipersendakan selepas mengajar dalam Bahasa Inggeris, Rohani berkata, baginya guru berkenaan sangat positif dan kuat.

"Bukan semua guru sekuat dia, saya tengok nak menangis dan jika berada di tempat itu saya pasti tidak kuat.

"Tapi saya tengok ramai netizen marah dengan tindakan (mempersendakan) individu berkenaan, masih ramai yang sayang kepada guru.

"Apabila tengok ramai netizen mempertahankan guru berkenaan saya yakin sistem pendidikan kita sudah bagus serta melahirkan insan bukan setakat akademik semata-mata tetapi sahsiah dan akhlak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 9:00 PM