FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) mencadangkan peperiksaan utama persekolahan peringkat negeri dijadikan aras ukur untuk pengambilan pelajar ke universiti atau matrikulasi dan bidang pengajiannya.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, bagaimanapun akreditasi pentaksiran itu perlu mendapat penyelarasan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Menurutnya, cadangan itu adalah pilihan terakhir jika gelombang ketiga pandemik Covid-19 ketika ini berlanjutan dalam tempoh yang panjang hingga menyebabkan kemungkinan peperiksaan utama persekolahan ditangguh lagi.

"Contohnya, jika Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ditiadakan (akibat darurat Covid-19).

"Peperiksaan percubaan SPM peringkat negeri yang sudah berlangsung boleh dijadikan aras ukuran pencapaian pelajar untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta serta matrikulasi dengan mengikut piawaian skima markah dan gred yang akurat," katanya.

Beliau mengulas penularan gelombang ketiga pandemik Covid-19 di negara ini secara langsung turut menjejaskan institusi pendidikan khususnya persekolahan termasuk pelajar yang menduduki peperiksaan utama.

Banyak sekolah ditutup terutama di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha kerajaan untuk memutuskan penularan Covid-19.

Mohd Azizee berkata, apa pun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mendapatkan pandangan semua pihak terutama guru, ibu bapa dan kesatuan perkhidmatan pendidikan dalam menangguhkan peperiksaan utama persekolahan.

"Ini kerana langkah penangguhan ini bergantung kepada situasi dan perkembangan penularan Covid-19. Tidak semua kawasan terjejas. Perlu berlaku adil.

"Penangguhan dan pertukaran tarikh baharu akan merumitkan banyak keadaan, meningkatkan kos serta emosi pelajar akan terkesan," katanya.

Menurutnya, penyelesaian terbaik ialah KPM perlu sediakan pelan kontigensi jika berlaku penundaan dengan memikirkan kaedah pentaksiran atau penilaian yang berbeza dengan sedia ada seperti peperiksaan virtual.

Ia, katanya, sebagaimana pihak universiti laksanakan seperti kuiz dan kertas kerja dalam talian.

"Pentaksiran pelajar peringkat sekolah secara berterusan sepanjang Tingkatan Empat hingga Tingkatan Lima boleh menjadi ukuran tahap pencapaian pelajar.

"Ini antaranya ujian formatif, sumatif, ujian diagnostik dan sebagainya dengan penyelarasan skema markah yang ada kesahan.

"Mungkin pada subjek tertentu perlu peperiksaan virtual seperti subjek sains dan matematik," katanya.

Apa pun, katanya, jika berlaku peningkatan kes Covid-19 yang menjejaskan jadual peperiksaan utama namun menangguhkan lagi ke tempoh masa lain agak membebankan pelajar, guru dan ibu bapa.

Mohd Azizee berkata, selain mengiktiraf peperiksaan percubaan, KPM juga boleh menggubal format pentaksiran secara virtual.

"Jika secara virtual aspek akses capaian Internet terutama di kawasan luar bndar perlu ditingkatkan serta kemudahan alat peranti.

"Cabaran utama dan pastinya ada jalan untuk merungkai dan kita perlu bersedia menghadapinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 2:12 PM