Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman mencadangkan pembinaan menara tinjau di beberapa lokasi sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dengan Thailand.

Bagaimanapun, Pengarah KDNKA Datuk Hazani Ghazali berkata, beberapa faktor perlu diambil kira selain tinjauan lokasi dilakukan untuk mengenal pasti tempat sesuai bagi pembinaannya.

Menurutnya, pembinaan menara tinjau dapat membantu pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan negara mengesan pergerakan keluar masuk kegiatan penyeludupan dengan lebih cepat sekali gus tindakan segera dapat diambil.

"Jika ia dapat dibina di setiap pos adalah lebih baik, namun perlu dilihat kepada kelulusan serta proses pembinaan terlebih dahulu selain kebenaran memandangkan ada antara kawasan tebing sungai adalah hak milik persendirian.

"Pembinaan ini masih dalam proses cadangan, jadi ia memerlukan perbincangan secara terperinci dengan pelbagai pihak agar ia dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

"Selain itu, antara cadangan lain kita mahu jadikan pos kawalan yang ada digazetkan sebagai kawasan larangan sekali gus melancarkan sebarang operasi kawalan sempadan," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan sempadan di Pos Ibrahim Pencen di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hazani berkata, PGA sentiasa diingatkan untuk bersiap sedia jika kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Thailand sebagaimana yang dilakukan antara Malaysia dan Singapura.

"Sudah lebih dua tahun sempadan antara kedua negara ini ditutup, jadi jika dibuka semula memerlukan segala aspek kesiap siagaan bagi pasukan keselamatan agar keadaan dapat dikawal, begitu juga dengan kegiatan penyeludupan.

"Namun begitu, agensi lain juga perlu turut sama membantu agar pintu sempadan dibuka dalam keadaan lancar dan tiada sebarang masalah.

"Anggota dan pegawai yang bertugas sudah memberi khidmat yang terbaik dengan menumpaskan pelbagai jenis kes jenayah serta kegiatan penyeludupan, namun tidak boleh cepat selesa kerana golongan penyeludup terus mencari strategi baru untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 3:17 PM
Hazani (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada anggota PGA yang bertugas di Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang hari ini. Foto Syaherah Mustafa
Hazani (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada anggota PGA yang bertugas di Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang hari ini. Foto Syaherah Mustafa