Hazani (tengah) menunjukkan antara kejayaan operasi Op Bersepadu Khazanah yang dilancarkan sebelum ini. FOTO JUWAN RIDUAN
Hazani (tengah) menunjukkan antara kejayaan operasi Op Bersepadu Khazanah yang dilancarkan sebelum ini. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperhebatkan operasi dalam usaha memerangi aktiviti penyeludupan di negara ini khususnya di Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu sememangnya menjadi salah satu misinya untuk memerangi aktiviti penyeludupan terutama membabitkan barang kawalan selain membanteras aktiviti jenayah lain di perairan negara ini.

Katanya, kegiatan penyeludupan itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sehingga jutaan ringgit saban tahun.

"Salah satu misi saya adalah memerangi sampai ke akar umbi berhubung kegiatan penyeludupan barang-barang menerusi Op Kontraban bukan saja di Sabah tetapi juga di seluruh negara.

"Ini termasuk aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras dan barang-barang kawalan yang ada di Malaysia seperti beras, minyak masak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) antara Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail yang bersara wajib kepada Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias di Ibu Pejabat Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Hazani berkata, sukar dinafikanb terdapat pemintaan tinggi terhadap barang seludup selain ada dalang berhubung aktiviti itu.

"Mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang, mesti ada dalangnya dan ia tidak akan berlaku secara spontan.

"Mesti ada orang yang merancang dan ada orang yang membekalkan modal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 4:17 PM