Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen utama di Pulau Pinang termasuk satu di Sekolah Kebangsaan Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, di sini, mula menunjukkan penurunan dengan bacaan sederhana sejak pagi hari ini.

Situasi itu memulihkan jarak penglihatan yang sebelum itu didapati kabur akibat jerebu melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, bacaan IPU di semua stesen utama termasuk stesen sementara menunjukkan bacaan paras sederhana di bawah 100.

"Keadaan ini bertambah baik berbanding semalam dan kita akan terus memantau IPU di semua stesen di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengikut laman web Sistem Pengurusan IPU Malaysia (APIMS) setakat 3 petang hari ini mendapati, bacaan IPU di stesen Seberang Jaya adalah 73 diikuti Seberang Perai (59), Minden (60) dan Balik Pulau (59) manakala stesen sementara di SJKT Ladang Byram pula adalah 77.

Bacaan IPU antara 0-59 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Semalam, Sharifah Zakiah dilaporkan berkata, berlaku peningkatan bacaaan IPU di empat stesen utama di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini dipercayai didorong pengaruh luar.

Beliau berkata, pengaruh luar itu termasuk kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan dipercayai jerebu merentas sempadan berikutan kebakaran hutan di Kemboja pada ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 4:50 PM
 Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara di Kampung Kebun Baru di sini, berhampiran dari lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. FOTO DANIAL SAAD
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara di Kampung Kebun Baru di sini, berhampiran dari lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. FOTO DANIAL SAAD