JUMLAH kenderaan menggunakan Jambatan Pulau Pinang  dan keluar masuk pulau meningkat sempena cuti umum perayaan ketika tinjauan semalam. FOTO Danial Saad
JUMLAH kenderaan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan keluar masuk pulau meningkat sempena cuti umum perayaan ketika tinjauan semalam. FOTO Danial Saad
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengetatkan pemantauan dan penguatkuasaan lalu lintas sepanjang tempoh cuti umum Tahun Baru Cina dan cuti persekolahan sehingga 4 Februari ini.

Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP berkata, pihaknya menjangka ramai pelancong tempatan akan melawat dan bercuti di bahagian pulau seperti Georgetown, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Batu Feringghi, Air Itam, Bayan Lepas dan Balik Pulau.

Katanya, berikutan itu, sekitar bahagian pulau akan menghadapi kesesakan lalu lintas selain kuantiti sampah dijangka meningkat.

"Pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan terutama di semua kawasan pelancongan dan kawasan sasaran (hotspot).

"Semua tugasan pemantauan akan dilakukan secara rondaan pengawal dan menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Intelligent Operation Centre (IOC) MBPP," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pembekuan cuti sepanjang tempoh berkenaan turut diarahkan bagi Ketua Jabatan, pegawai dan kakitangan jabatan yang terbabit dengan perkhidmatan perlu iaitu 77.58 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja MBPP.

"Petugas Pasukan Skuad Pantas MBPP juga bersiap sedia menghadapi sebarang bencana yang mungkin berlaku seperti pokok tumbang dan sebagainya.

"Sebarang aduan boleh disalur kepada talian MBPP 04-263 7000, sistem e-aduan MBPP atau aplikasi WhatsApp Aduan MBPP (016-200 4082) ," katanya.

Polis Pulau Pinang menjangka penambahan kenderaan sebanyak 50,000 sehari berikutan orang ramai yang akan berkunjung ke negeri ini bagi sambutan Tahun Baru Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 10:30 AM