FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Isu pelantikan syarikat pengedar ayam tunggal daripada Singapura seperti disarankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terus mendapat bantahan peniaga ayam segar di Pasar Awam Balik Pulau, di sini.

Peniaga Shahril Mar Mokhan Mohamad, 42, berkata, selain menimbulkan pelbagai isu termasuk status penyembelihan ayam yang meragukan, mereka mengakui berasa seperti ditindas apabila disyaratkan membeli peti pendingin berharga hingga RM3,000 dengan syarikat berkenaan.

Katanya, peniaga diberi pilihan bagi menyewa peti pendingin berkenaan daripada pembekal dengan kadar bayaran tertentu sekiranya tidak mampu atau lesen akan ditarik MBPP.

"Sudah ada peniaga yang memasukkan ayam ke dalam peti pendingin milik mereka untuk mencuba, natijahnya pembeli enggan beli ayam itu kerana tidak segar.

"Kami (peniaga) dalam keadaan tertekan kerana tiada wang sebanyak itu dan bimbang jika menerima nasib yang sama jika ayam tidak terjual," katanya yang sudah berniaga ayam lebih setahun.

Sementara itu, Tan Soyk Kwong, 55, berkata, dia dan peniaga lain menghadapi masalah tiada tempat sesuai bagi menurunkan barangan jualan kerana tanjakan yang sedia ada sudah dibina tangga dan penghadang.

"Sudah tentu sukar bagi peniaga memunggah barangan malah pasar ini juga tidak mesra kepada orang kurang upaya (OKU).

"Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik demi keselesaan peniaga dan orang awam yang berurusan di sini," katanya yang sudah 40 berniaga di pasar berkenaan.

Mereka mewakili 10 peniaga ayam di pasar berkenaan ditemui ketika membuat aduan kepada Ketua Umno Bahagian Balik Pulau Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah.

Shah Headan berkata, dia menerima aduan bahawa majoriti pembeli tidak mahu membeli ayam yang disimpan dalam peti pendingin berkenaan.

Katanya, ada pembeli yang hanya mahu bahagian tertentu ayam, manakala selebihnya perlu dibuang sekiranya tiada pembeli manakala ayam yang sudah beku pula sukar dipotong.

"Difahamkan bahawa peniaga diberi tempoh sehingga hujung bulan ini bagi menyediakan peti pendingin di kedai masing-masing.

"Kami sudah menghantar surat kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow semalam, mengenai isu ini dan berharap dapat bertemu dengannya bagi menangani masalah itu," katanya.

Isu itu timbul susulan cadangan MBPP bagi menghapuskan penyembelihan ayam di semua pasar basah di bahagian pulau apabila pembinaan pusat pengedaran ayam di Batu Lanchang siap sepenuhnya pada tahun ini.

Pusat itu akan mengedar ayam yang siap disembelih kepada 126 penjual ayam di 26 pasar di seluruh Pulau Pinang.

Pada 1 Februari tahun lalu Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang dilaporkan berkata pembinaan pusat pengedaran itu adalah bagi mengekalkan kebersihan di semua pasar basah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 5:02 PM