LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menempatkan beberapa anggota penguat kuasa bagi menjalankan tugas pemantauan di Gurney Bay, di sini, susulan aduan berhubung kemasukan haiwan peliharaan di taman rekreasi yang baharu beroperasi pada 4 Februari lalu.

Pengarah Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, penempatan anggota bermula jam 5 pagi setiap hari itu adalah bagi mengelak kegusaran orang awam berhubung isu berkenaan.

Katanya, ia juga adalah bagi memastikan pengunjung dapat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di taman rekreasi berkenaan

"Buat masa ini, pihak kontraktor Gurney Bay masih dalam tindakan untuk menyediakan dan memasang papan tanda bagi memaklumkan kepada orang awam mengenai perkara yang dibenarkan dan dilarang di Gurney Bay.

"Kesemua peraturan ini adalah berdasarkan Akta dan Undang-undang kecil yang dikuatkuasakan oleh MBPP termasuklah Undang-Undang Kecil Taman MPPP 1993 yang mempunyai peruntukan mengenai larangan kemasukan haiwan ke dalam taman," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu NSTP melaporkan ketiadaan papan tanda yang melarang kemasukan haiwan peliharaan di Gurney Bay, di sini, menyebabkan kebanyakan pemilik bersikap tidak peduli terhadap persekitaran dan sensitiviti ketika mengunjungi taman rekreasi itu.

Hasil tinjauan yang diadakan hampir lima ke enam ekor anjing dibawa masuk dekat situ oleh pemilik tanpa ada rasa segan silu terhadap pengunjung khususnya yang beragama Islam.

Berdasarkan semakan yang dibuat di taman rekreasi bagi fasa pertama berkeluasan 11.2 hektar itu tidak menjumpai sebarang papan tanda amaran kemasukan haiwan peliharaan dipamerkan.

Sebaliknya hanya ada papan tanda larangan membuang sampah, merosakkan tanaman, merokok, menjaja dan melakukan kegiatan vandalisme.

Namun begitu, terdapat satu keratan kertas melarang kemasukan anjing dilekatkan di bahagian papan tanda larangan memijak rumput dipercayai baharu saja diletakkan selepas isu itu disuarakan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 10:40 AM