Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Roselan Ab Malek

Jerantut: Nasib rakyat Malaysia yang koma di Hospital Besar Hyosung, Cheongju, Korea Selatan, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membantu Kamarulzaman bagi meringankan beban membiayai kos perubatan dan rawatan di negara itu sejak minggu lalu.

Kamarulzaman yang berasal dari Kampung Batu Balai dekat sini, bekerja di negara itu sejak Oktober 2019 dan melakukan pelbagai pekerjaan sebelum bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang tisu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sangat cakna dengan masalah rakyat negeri ini yang dilanda musibah.

"Kamarulzaman dikatakan pengsan di kediamannya dan terus dihantar ke hospital disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di kepala.

"Oleh itu, kira-kira RM11,000 diperlukan bagi menampung kos perubatan sehari ketika dirawat di hospital itu dan dapat dilangsaikan melalui hasil kutipan dana daripada rakan-rakan senegara yang turut bekerja di sana," katanya.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Nazri yang mewakili Menteri Besar Pahang kepada anak Kamarulzaman, Muhammad Zafifi di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi menampung kos seterusnya kerajaan memberi sumbangan untuk membolehkan seorang waris iaitu anak sulungnya yang bakal melawat bapanya dalam masa terdekat.

"Diharap sumbangan ini dapat menampung kos tiket pergi dan balik anaknya ke sana untuk mengikuti perkembangan kesihatan bapanya," katanya.

Dalam masa yang sama, Nazri melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan (Adun) Pulau Tawar turut menyumbang sebanyak RM3,000 kepada wakil keluarga tersebut.

Sementara itu, Muhammad Zafifi berkata, dia dan keluarga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang membantu meringankan perbelanjaan kos rawatan bapanya dan pemergiannya ke Korea Selatan itu.

Menurutnya, keluarganya turut berterima kasih kepada penyumbang yang menyalurkan bantuan untuk meringan kos rawatan dan perubatan bapanya itu.

Berita berkaitan

Baru 1 malam dirawat, bil sudah cecah RM11,000 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 7:14 PM