Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Siapa Menteri Besar Johor Ke-19 bakal terjawab petang ini berikutan majlis angkat sumpah dijangka akan diadakan nanti.

Menurut sumber BN, persediaan majlis angkat sumpah berkenaan sedang berjalan dan dijangka diadakan antara 2 atau 3 petang ini.

"Ya, majlis angkat sumpah dijangka akan diadakan petang dan siapa Menteri Besar Johor akan terjawab nanti," katanya ketika dihubungi.

Tinjauan di pintu utama dan belakang Istana Bukit Serene di sini, mendapati terdapat beberapa pengamal media sudah menanti berhampiran kawasan berkenaan sejak 10.30 pagi hari ini selepas terdapat khabar angin majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor akan diadakan hari ini.

Petugas media mula bersedia di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. Nur Aisyah Mazalan
Petugas media mula bersedia di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. Nur Aisyah Mazalan

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dilaporkan mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor dilaporkan berkata ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Kenyataan terbaharu Hasni itu yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu, seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor Ke-19.

Nama lain yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Besar adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga bekas Exco Belia dan Sukan Johor selepas menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang menang DUN Rengit pada PRN itu.

Semalam, media melaporkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dipercayai menitahkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 12:16 PM