GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Klang: Sebuah syarikat perlombongan didenda RM147,000 di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, kerana gagal memastikan keselamatan pekerja sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut serta empat lagi terbabit kemalangan pada tahun lalu.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, hukuman denda itu dijatuhi oleh Hakim Rohatul Akmar Abdullah, selepas syarikat itu mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.

Katanya, bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didenda RM45,000 selepas gagal menjalankan kewajipan yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, dengan gagal membekalkan jaket keselamatan kepada pekerja-pekerjanya yang melakukan aktiviti berulang alik dari darat ke kapal korek sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut terhadap seorang pekerja akibat lemas.

"Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didenda RM28,000 bagi setiap kesalahan yang sama di mana, gagal membekalkan jaket keselamatan kepada pekerjanya yang melakukan aktiviti berulang alik dari darat ke kapal korek sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada empat pekerjanya.

"Kesalahan dilakukan pada jam 8 pagi, 24 Februari 2021 di kawasan lombong pasir milik syarikat itu di Mukim Tanjung Dua Belas, Banting, Selangor," katanya.

Menurutnya, syarikat perlombongan itu dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Selangor Dr Rasyimawati Mat Rashid manakala siasatan dijalankan Pegawai Penyiasat JKKP Selangor Mohamad Firdaus Abu Hassan.

Katanya, kes ini diharap memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar pematuhan kepada undang-undang perlu diambil berat demi kepentingan awam dan keselamatan pekerja.

-tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 4:55 PM