KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Seorang tukang kebun meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terjatuh ke dalam longkang di Jalan Kuala Selangor-Kepong, di sini, malam tadi.

Pada kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Khairul Anuar Ismail, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 9.15 malam tadi.

"Siasatan awal dilakukan di lokasi mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Taman Seri Buloh menghala Paya Jaras, tidak dapat dikawal.

"Ia menyebabkan motosikal berkenaan hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam longkang di kiri jalan. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafa'aton berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 8:04 AM