Khalil Abd Aziz. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Khalil Abd Aziz. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Penduduk di negeri ini dinasihatkan supaya mengelak melakukan aktiviti luar berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini yang boleh melebihi 35 darjah celsius.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, boleh dikatakan semua daerah di negeri ini dilanda cuaca panas melampau sekiranya tiada hujan.

"Berdasarkan rekod, daerah Kota Setar mencatatkan 20 hari tanpa hujan, Pulau Langkawi pula 17 hari manakala Sik serta Kuala Muda masing-masing 12 hari.

"Malah setakat ini catatan suhu tertinggi direkodkan di Stesen Charok Padang, Sik pada Sabtu lalu dengan bacaan 35.3 darjah Celcius.

"Selain itu suhu maksimum harian pula dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Khalil turut menasihatkan supaya aktiviti pembakaran terbuka ketika ini tidak digalakkan dan tidak sesuai ketika musim kering disebabkan haba panas ketika ini.

Katanya, keadaan ini berikutan negeri ini kini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu secara amnya negeri di bahagian utara semenanjung akan mengalami kering sedikit.

"Dijangkakan cuaca panas yang melanda negeri ini pada waktu ini berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan," katanya.

Muhammad Khalil berkata, setakat ini terdapat beberapa stesen merekodkan bilangan hari tanpa hujan melebihi tujuh hari berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 4:42 PM