Cuaca panas tahap satu yang melanda 10 daerah di Kedah menyebabkan orang ramai mengurangkan aktiviti pada waktu tengah hari. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Cuaca panas tahap satu yang melanda 10 daerah di Kedah menyebabkan orang ramai mengurangkan aktiviti pada waktu tengah hari. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sepuluh daerah di Kedah berdepan cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) apabila mencatatkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, ia membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim, Pendang dan Pulau Langkawi.

Bagaimanapun katanya, dua daerah lain iaitu Yan dan Bandar Baharu masih mencatatkan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius.

"Cuaca panas dijangka berakhir apabila masuk musim peralihan monsun yang dijangkakan hujung Mac ini atau awal April depan.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa, selain kurangkan berada di luar rumah pada waktu tengah hari bagi mengelak terdedah cuaca panas," katanya.

Sementara itu, pengusaha ikan kering dari Kuala Kedah, Hashimah Ahmad, 50, berkata, cuaca panas sedikit sebanyak mendorong ikan yang dijemur kering cepat.

Dalam sehari, katanya, dia hanya mengambil masa tidak sampai sejam untuk menjemur ikan berbanding tiga atau empat jam sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 3:41 PM