Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Masjid Kristal yang terletak di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man, di sini, dijangka dapat digunakan untuk solat tarawih tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Wan Adnan Wan Derahman berkata, kerja-kerja membaiki sebahagian besar kerosakan masjid berkenaan sedang dijalankan.

Beliau berkata, dua kerosakan besar yang berlaku kepada masjid berkenaan iaitu kebocoran bumbung serta kerosakan 28 keping cermin kubah yang dikenal pasti sejak 2017 sudah siap sepenuhnya.

"Kerajaan negeri turut memberi peruntukan kepada PMINT untuk kerja-kerja membaiki dinding parapet, siling dan elektrikal.

"Kerja baik pulih yang sepatutnya siap lebih awal tertangguh disebabkan beberapa masalah termasuk kekangan peruntukan, kontraktor dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Masjid Kristal yang dibina dengan kos RM22 juta itu menjadi antara ikon pelancongan negeri kerana seni bina yang unik menggunakan kaca dan keluli selain dibina di tebing Sungai Terengganu.

Masjid yang pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia dan diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di negara ini dirasmikan Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:36 PM