Nurul Syafiqah Che Din membantu menyuapkan minuman ke mulut ibunya, Siti Fatimah Hanafiah @ Omar, 52, yang menghidap kanser payudara tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Nurul Syafiqah Che Din membantu menyuapkan minuman ke mulut ibunya, Siti Fatimah Hanafiah @ Omar, 52, yang menghidap kanser payudara tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kodiang: "Saya akan jaga emak selagi hayat dikandung badan walaupun saya terpaksa membahagikan masa dengan belajar. Kesihatan emak lebih penting," kata Nurul Syafiqah Che Din, 22.

Nurul Syafiqah yang juga pelajar semester tiga Ijazah Pengurusan Kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis sanggup menghabiskan masa menjaga ibunya, Siti Fatimah Hanafiah @ Omar, 52, yang menghidap kanser payudara tahap empat.

Menurutnya, ketika dia masih belum pulang ke kampus, dia menjaga ibunya yang kini hanya terlantar di atas katil malah kesihatan ibunya juga turut merosot.

"Muka emak semakin bengkak mungkin kesan rawatan kemoterapi tapi tak pastilah sebab selalu jadi macam ini dan bengkak itu surut tidak lama kemudian.

"Emak hanya minum susu formula khas yang disarankan oleh doktor selain makanan lembut yang boleh membantu menambah tenaga dalam badannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pida 6 di sini, hari ini.

Menurut Nurul Syafiqah, ibunya dikesan menghidap kanser payudara sejak Oktober lalu selepas mendapati terdapat ketulan di bawah ketiak.

Dia berkata, bapanya, Che Din Che Mid, 54, hanya bekerja mengambil upah mengerjakan sawah dan memperoleh pendapatan tidak menentu.

"Tiga adik saya yang berusia sembilan, 13 dan 18 tahun masih bersekolah termasuk saya di UiTM dan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk pengajian kami tetapi saya bersyukur kerana memperoleh bantuan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Tiga beradik lagi hanya bekerja kampung dan tidak cukup untuk membantu perbelanjaan emak yang bergantung sepenuhnya dengan memakai lampin pakai buang serta susu formula khas yang mencecah lebih RM500 sebulan.

"Itu tidak termasuk perbelanjaan berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dari Kodiang setiap lima atau enam kali sebulan," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubunginya di talian 012-2638421.

Pengerusi Canser Survivor Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang mengunjungi pesakit kanser itu berkata, sebelum ini pihaknya sudah memberi bantuan katil pesakit untuk Siti Fatimah.

Beliau berkata, kunjungan hari ini pula, CSM turut menyerahkan sumbangan wang tunai, susu formula khas serta barangan kegunaan harian untuk Siti Fatimah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 2:11 PM