Mohd Nazri Nashrul yang menghidap kanser usus tahap empat membantu ibunya, Hatiah Haron membuat kuih untuk jualan bagi membiayai kos rawatan hospital. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Mohd Nazri Nashrul yang menghidap kanser usus tahap empat membantu ibunya, Hatiah Haron membuat kuih untuk jualan bagi membiayai kos rawatan hospital. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Kodiang: "Sepatutnya anak yang menjaga emak selepas ayah meninggal dunia 13 tahun lalu tetapi sekarang emak pula yang terpaksa bersusah payah mencari wang untuk menampung kos rawatan saya," kata pesakit kanser usus tahap empat, Mohd Nazri Nashrul, 37.

Menurutnya, dia disahkan menghidap kanser pada 2011 selepas sakit ketika membuang air kecil dan kemudian menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sebelum doktor mengesahkan ada ketulan dalam perut.

"Ketika itu saya sangka sakit biasa kerana ia beransur hilang. Namun, setahun kemudian sakit datang semula dengan lebih teruk.

"Saya membuat pemeriksaan di Hospital Pekan, Pahang dan doktor mengesahkan saluran kencing tersumbat manakala usus pula sudah pecah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 17, di sini hari ini.

Menurutnya, kesnya itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuantan sebelum sana doktor mengesahkan dia menghidap kanser usus tahap empat.

"Saya pernah mengalami lumpuh selama hampir enam bulan bermula Februari hingga Ogos lalu disebabkan sel kanser itu sudah menyerang pundi kencing.

"Disebabkan itu, doktor menyarankan supaya saya membuat pembedahan membuang saluran kencing tetapi disambung semula selepas itu untuk membolehkan saya membuang air kencing seperti biasa.

"Tetapi saya masih rasa sakit ketika hendak membuang air kecil sampai sekarang dan masih keluar nanah sikit tetapi tidak seteruk yang dulu," katanya yang berstatus duda.

Mohd Nazri berkata, dia kini tinggal bersama ibunya di kampung dan menjalani rawatan susulan di HSB sekali dalam sebulan malah pernah dua kali menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, dia tidak dapat melakukan kerja berat disebabkan sakitnya itu dan kini membantu ibunya membuat tempahan kuih serta menghantarnya di kedai makan berhampiran.

Sementara itu, ibunya, Hatiah Haron, 63, berkata, setiap pagi dia bangun seawal jam 4 pagi untuk menyiapkan tempahan tiga jenis kuih iaitu pulut pisang, pulut udang dan tepung bungkus untuk dijual.

"Nazri perlukan dua kotak beg stoma dalam sebulan dan saya perlu mencari sekurang-kurangnya RM400 lebih sebulan untuk membelinya termasuk lampin pakai buang.

"Itu tak termasuk untuk bil elektrik serta makan minum kami berdua tapi saya bersyukur kerana lima anak yang lain turut membantu walaupun mereka juga masing-masing mempunyai keluarga," katanya.

Hatiah berkata, selain itu bekalan air di rumahnya juga dipotong kerana tidak mampu membayar tunggakan malah bil hospital anaknya juga masih tertunggak RM400.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun 0200241100094987 (Bank Simpanan Nasional) milik Hatiah Haron.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang menziarahi pesakit itu menghulurkan sumbangan wang tunai, susu formula khas serta barangan keperluan dapur itu dua beranak itu.

Katanya, pihaknya juga bersetuju untuk membantu membayar kos rawatan hospital pesakit yang tertunggak untuk meringankan beban mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 11:20 AM