Zuliaty Zulkiffli


Pendang: "Syukur ramai yang menghubungi saya memberi sokongan serta menghulurkan sumbangan selepas kisah kami disiarkan hari ini.

"Insya-Allah saya akan jaga emak dan ayah selagi hayat dikandung badan. Terima kasih semua yang membantu," katanya Mohd Yusri Haiqal Mohd Yusop, 32.

Kisah Mohd Yusri Haiqal iaitu anak tunggal yang menjaga ibunya, Mahani Saleh, 57, yang menghidap kanser payu dara tahap tiga serta bapanya, Mohd Yusop Sulaiman, 62, yang tidak dapat bergerak akibat angin ahmar mendapat simpati badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai hari ini.

Dia yang hanya melakukan kerja sambilan sebagai mekanik agak tertekan kerana terpaksa meninggalkan bapanya di rumah mereka di Kampung Chegar, Kuala Mawa, di sini kerana perlu membawa ibunya menjalani rawatan di Hospital Lama di Alor Setar.

Malah, dia yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibu bapanya di kampung sehingga terpaksa melupakan dahulu mencari teman hidup serta mencari kerja tetap.

"Saya bersyukur kerana ramai yang telefon untuk membantu, sedikit sebanyak menguatkan lagi semangat saya untuk menjaga ayah dan emak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Malah, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut mengunjungi keluarga itu serta menyampaikan sumbangan wang tunai, susu formula khas serta barangan keperluan dapur untuk keluarga itu.

Zuraini berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib Mahani sekeluarga dan akan terus memberi semangat kepadanya supaya meneruskan perjuangan sebagai pesakit kanser.

Katanya, pihak CSM akan membantu sedaya mungkin kepada pesakit berkenaan memandangkan suaminya pula sakit dan anaknya seorang diri menjaga ibu bapanya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 2:00 PM
Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur dan susu formula khas kepada Mahani Saleh yang menghidap kanser payu dara tahap tiga serta suaminya yang menghidap angin ahmar di rumah mereka di Kampung Chegar, Kuala Mawa. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur dan susu formula khas kepada Mahani Saleh yang menghidap kanser payu dara tahap tiga serta suaminya yang menghidap angin ahmar di rumah mereka di Kampung Chegar, Kuala Mawa. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI