Zuliaty Zulkiffli


Baling: Kesungguhan Nur Saffiya Irdina Mohd Firdaus, 10, menjaga ibunya yang menderita akibat kanser payu dara tahap empat sejak setahun lalu mendapat simpati dari badan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM), hari ini.

Pengerusinya, Zuraini Kamal yang mengunjungi pesakit kanser itu, Roliza Md Zain, 31, di rumah kakaknya di Kampung Charuk Purun, Tawar di sini untuk menyampaikan sumbangan dari pihak CSM.

Zuraini turut membelikan sebuah set sofa untuk memudahkan pesakit itu berehat selain lampin pakai buang serta susu formula khas untuk pesakit berkenaan.

"Saya dimaklumkan pesakit tidak selera makan dan hanya makan sikit, jadi kami CSM datang mengunjungi pesakit ini untuk memberinya susu formula khas sebagai makanan tambahan.

"Selain itu, kami turut membelikan set sofa bagi memudahkan pesakit untuk berehat di rumah," katanya ketika ditemui di rumah pesakit di sini hari ini.

Selain itu, Zuraini turut menyampaikan sumbangan wang tunai daripada CSM selain akan memantau keluarga ini sekiranya mereka memerlukan bantuan lain.

Menurut Zuraini, mereka kagum dengan kesungguhan murid itu walaupun baru berusia 10 tahun tetapi mampu menguruskan ibunya yang sakit.

Katanya, melihat pada wajah kanak-kanak itu, jelas terpancar kesedihan yang dialaminya untuk membahagikan tugas belajar serta menjaga ibunya selepas kematian bapanya.

"Saya turut memberi sokongan kepadanya supaya belajar bersungguh-sungguh selain tabah dalam menghadapi ujian yang dilaluinya menjaga ibunya yang sakit," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, meskipun usia Nur Saffiya Irdina Mohd Firdaus baru 10 tahun, namun dia sudah mampu menguruskan ibunya, Roliza Md Zain, 31, yang terlantar sakit akibat kanser payu dara yang dihidapi sejak setahun lalu.

Setiap pagi sebelum ke sekolah, dia akan menukarkan lampin pakai buang selain menyuap makanan ke mulut ibunya malah tugas itu diulanginya selepas pulang dari sekolah.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar itu reda dengan ujian Allah buat dirinya yang juga anak sulung daripada empat beradik itu selepas bapanya, Mohd Firdaus Marzuki, 35, meninggal dunia tahun lalu akibat penyakit jantung dan paru-paru berair.

Berita berkaitan

Anak 10 tahun urus ibu sakit kanser selepas kematian bapa [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 2:08 PM