Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis tidak menolak kemungkinan lelaki yang bertindak kejam memenggal kepala ibu kandungnya sehingga maut di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat sini, petang semalam, terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati suspek yang juga penganggur berusia 28 tahun disyaki terbabit dadah sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, selain ujian saringan air kencing positif dadah, semakan lanjut mendapati suspek turut memiliki satu rekod lampau berkaitan kes ugutan pada 2014.

"Penyalahgunaan dadah membabitkan suspek dipercayai bukan dalam masa singkat kerana dia tergamak mencederakan orang.

"Kita percaya anak ketiga daripada tujuh beradik itu terbabit masalah (dadah) ini antara tiga hingga empat tahun.

"Untuk kes ugutan pula, kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membabitkan ugutan ke atas ibunya sendiri. Bagaimanapun, suspek telah menjalani hukuman," katanya.

Ramli berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengambil keterangan daripada ahli keluarga termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.

SUPERINTENDAN Ramli Kasa (tengah) menunjukkan kawasan semak yang menjadi tempat persembunyian lelaki yang bertindak kejam memenggal kepala ibu kandungnya sendiri. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SUPERINTENDAN Ramli Kasa (tengah) menunjukkan kawasan semak yang menjadi tempat persembunyian lelaki yang bertindak kejam memenggal kepala ibu kandungnya sendiri. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

"Kejadian memilukan itu disedari seorang wanita yang juga kakak kepada suspek berusia 30-an yang menemui ibu mereka di ruang tamu.

"Pada masa sama, suspek melarikan diri, namun berjaya ditahan di kawasan semak kira-kira 50 meter di belakang rumahnya.

"Bagaimanapun, tiada alat atau bahan berkaitan dadah di dua lokasi (rumah dan semak)," katanya.

Terdahulu, media melaporkan mayat mangsa berusia 56 tahun ditemui di ruang tamu dan terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan.

Ramli dilaporkan berkata, polis turut merampas parang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa yang ditemui dalam tandas rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 5:39 PM