GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


SEORANG lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah direman selama 12 hari selepas didakwa melakukan sumbang mahram, di Felda Bukit Jalor, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Tampin di perkarangan Balai Polis Ayer Kuning Selatan, Negeri Sembilan pada jam 1.10 tengahari, Jumaat lalu.

Katanya, penahanan itu dilakukan susulan daripada laporan polis dibuat anak kandung suspek yang juga mangsa berusia 16 tahun 10 bulan, pada jam lebih kurang 2.44 pagi, 30 Januari lalu.

"Pengadu membuat laporan polis kerana diperkosa suspek yang juga bapa kandungnya sendiri di Felda Bukit Jalor, Gemencheh.

"Pengadu yang juga mangsa dirogol beberapa kali oleh suspek sejak berusia 12 tahun.

"Pengadu juga memberitahu, adiknya yang berumur 12 tahun turut dirogol bapa kandungnya," katanya tadi.

Ramli berkata, rentetan dari laporan polis itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tampin dan anggota Balai Polis Ayer Kuning berusaha mengesan suspek.

Menurut beliau, suspek dibawa ke IPD Tampin untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat, suspek dapati merogol kedua-dua mangsa beberapa kali di rumahnya di Felda Bukit Jalor.

Katanya, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek negatif mengambil dadah dan suspek direman sehingga 12 Februari ini.

"Sekiranya disabitkan bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

"Berdasarkan siasatan, suspek yang bekerja sebagai penoreh getah juga adalah seorang peminum arak yang tegar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 3:13 PM