Barangan yang diletak di luar rumah selepas dibersihkan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Barangan yang diletak di luar rumah selepas dibersihkan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Alunan bacaan ayat suci al-Quran memecah keheningan di rumah seorang wanita di Kampung Baru Pasir Penambang, di sini, yang maut selepas kepalanya dipenggal anak kandung sendiri.

Tinjauan wartawan hari ini mendapati ahli keluarga mangsa berada di lokasi kejadian untuk kerja pembersihan.

Namun kelihatan juga barangan seperti tilam, bantal, permaidani, kerusi dan beberapa barangan lain diletakkan di bahagian luar rumah.

Ketika dihampiri wartawan yang tiba sekitar jam 10 pagi tadi, ahli keluarga wanita itu enggan untuk ditemuramah.

Menantu mangsa yang enggan dikenali memaklumkan, jenazah ibu mentuanya sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Maaf buat masa ini kami tidak mahu ditemubual pihak media kerana masih terkejut dengan kejadian ini.

"Keluarga mohon supaya media memberi ruang kepada kami untuk bertenang kerana masih dalam keadaan bersedih," katanya, dekat sini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki bertindak kejam apabila sanggup memenggal kepala ibu kandungnya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 5.45 petang.

Katanya, siasatan mendapati mangsa berusia 56 tahun dibunuh anaknya berusia 28 tahun sebelum ditemukan di ruang tamu dan terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Berita berkaitan:

  • Kejam! Lelaki penggal kepala ibu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 1:21 PM