DUA lelaki ditahan selepas Perodua Viva dinaiki terbabas dan masuk dalam parit. FOTO ihsan polis
DUA lelaki ditahan selepas Perodua Viva dinaiki terbabas dan masuk dalam parit. FOTO ihsan polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Tindakan dua lelaki cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, hari ini, gagal apabila kedua-duanya berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengadakan sekatan jalan raya di lokasi terbabit jam 9.30 pagi tadi dan menahan sebuah Perodua Viva.

"Semasa proses penahanan kereta dibuat, suspek bertindak melarikan diri dan polis kemudian mengejar kenderaan terbabit.

"Sebaik tiba di kawasan Parit 1 Ban ARBI 15, Perodua Viva itu terbabas dan masuk dalam parit. Kedua-dua suspek melarikan diri ke ladang kelapa sawit namun berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta dinaiki suspek tamat cukai jalan dan tiada insurans.

"Pemeriksaan lanjut terhadap suspek pertama berusia 31 tahun mendapati beg sandangnya mengandungi satu paket lutsinar dadah seberat 1.53 gram.

"Manakala suspek kedua berusia 37 tahun juga memakai beg sandang dan di dalamnya mengandungi dadah tiub straw seberat 0.55 gram," katanya.

Ramli berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 14 rekod lampau jenayah dan sembilan rekod lampau dadah.

Katanya, suspek kedua pula mempunyai empat rekod lampau jenayah dan 12 rekod dadah.

"Saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah. Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1) akta sama dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial hantaran memaparkan gambar dua lelaki ditahan bersama sebuah Perodua Viva yang memasuki parit, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:01 PM