- Foto hiasan
- Foto hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Penganggur yang bertindak kejam memenggal kepala ibu kandungnya dengan parang di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, 15 Januari lalu dijangka didakwa Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, kebenaran lanjutan reman ke atas suspek berusia 28 tahun itu sudah diperoleh hari ini.

Katanya, mahkamah di sini membenarkan reman selama empat hari lagi bagi membantu siasatan kes.

"Reman ke atas suspek selama seminggu berakhir hari ini. Namun dibenarkan untuk disambung pagi tadi.

"Insya-Allah, kita menjangkakan suspek akan didakwa di mahkamah sama pada Isnin ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah melengkapkan siasatan kes terbabit dan merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian kejam itu disedari apabila seorang daripada anak mangsa gagal menghubungi ibunya dan segera pergi ke rumah sebelum melihat keadaan lokasi yang berlumuran darah, kira-kira 5 petang.

Suspek yang melarikan diri dengan bersembunyi di dalam semak belakang rumahnya bagaimanapun berjaya ditahan polis dengan bantuan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 4:54 PM