GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menyamar sebagai majikan di aplikasi WhatsApp sebelum mengarahkan mangsa membeli kad 'Google Play Gift'.

Itu modus operandi dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membabitkan dua kes dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM30,250.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati suspek akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai majikan mereka.

"Gambar profil yang digunakan oleh suspek adalah mirip atau sama dengan gambar majikan mereka.

"Mangsa yang percaya dengan helah itu kemudian diarahkan membuat pembelian kad 'Google Play Gift' yang boleh dibeli di kedai serbaneka dan meminta mereka menyerahkan nombor pin kad berkenaan kepada suspek.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati nombor telefon digunakan adalah berbeza dengan nombor sebenar milik majikan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati-hati apabila menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp atau panggilan daripada individu tidak dikenali dalam usaha mencegah kes seumpama ini daripada berlaku.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan gambar profil semata-mata, sebaliknya buat semakan dan pengesahan terutama terhadap mesej membabitkan implikasi kewangan.

"Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada CCID Response Center di talian 03-26101559/1599," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:10 PM