DATUK Seri Ir Dr Wee Ka Siong (tengah) diiringi Datuk Ahmad Amzad Hashim (dua kanan) melihat plan tapak Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman Dermaga Timur. FOTO GHAZALI KORI
DATUK Seri Ir Dr Wee Ka Siong (tengah) diiringi Datuk Ahmad Amzad Hashim (dua kanan) melihat plan tapak Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman Dermaga Timur. FOTO GHAZALI KORI
Rosli Ilham


Chukai : Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) akan melaksanakan kerja pembesaran dermaga di Pelabuhan Kemaman bagi menampung permintaan pengendalian kargo yang semakin meningkat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata, dengan adanya dermaga itu ia mampu menampung kira-kira 33 juta metrik tan kapasiti kargo.

Menurutnya, setakat ini, pelabuhan itu mampu menampung kira-kira tujuh juta metrik tan kargo dan akan mencapai sasaran itu menjelang 2025 nanti.

"Setakat ini, syarikat Eastern Steel Sdn Bhd mengeksport satu juta tan barangan mereka setahun dan akan meningkat kepada tiga juta tan dengan adanya pelabuhan itu.

"Selaras dengan perkembangan industri di Koridor Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Pelabuhan Kemaman akan menerima pelabur baharu iaitu Syarikat JXR Manufacturing yang akan mengambil alih kilang PERWAJA.

"Syarikat itu yang menghasilkan bilet keluli dan dijangka mula beroperasi pada 2024 dengan pengendalian sebanyak 7 juta tan kargo, "katanya ketika merasmikan Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman di Pelabuhan Kemaman, petang ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Wee berkata, untuk memperbesarkan dermaga itu, KPK akan memperuntukkan kos RM 500 juta.

"Untuk fasa pertama tahun ini, KPK akan membina empat kren membabitkan perbelanjaan RM100 juta.

"Manakala fasa selanjutnya akan digunakan untuk membina dermaga sepanjang 650 meter yang akan dimulakan pada tahun depan," katanya.

Menurutnya, dengan adanya dermaga itu nanti ia bukan sahaja menjadi pemangkin kepada Terengganu malah mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi setempat.

"Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan yang akan membabitkan modenisasi dan pembesaran pelabuhan dan kemudahan baharu termasuk peralatan pelabuhan mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini.

"Kementerian juga yakin pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan KPK dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain sekitarnya yang sedang rancak membangun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 7:49 PM