Asrol Awang

Kuantan: Pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan, di sini, dijangka meningkat sebanyak lima peratus pada tahun ini apabila operasi kembali rancak selepas terkesan dengan penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak 22.9 juta tan pengendalian kargo diuruskan berbanding 27.3 juta tan pada 2020.

Katanya, penurunan itu disebabkan penularan wabak Covid-19 hingga memberikan kesan terhadap jumlah pengendalian kargo.

"Bagaimanapun, tahun ini Pelabuhan Kuantan menjangkakan peningkatan lima peratus pengendalian kargo berbanding sebanyak 22.9 juta tan tahun lalu. Peningkatan itu dijangka berdasarkan perkembangan positif ekonomi serta pelaburan asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan Kuantan dan melancarkan Polisi Hijau Pelabuhan Kuantan (2021-2030) di Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Wee berkata, kerja pembesaran dermaga terminal laut dalam Pelabuhan Kuantan dirancang bagi menampung permintaan jumlah kargo lebih banyak pada masa akan datang.

WEE Ka Siong (tengah) ketika membuat lawatan kerja ke Pelabuhan Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
WEE Ka Siong (tengah) ketika membuat lawatan kerja ke Pelabuhan Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang

Katanya, ketika ini, Pelabuhan Kuantan boleh mengendalikan kargo sebanyak 50 juta tan metrik setahun.

"Berdasarkan perancangan, pembesaran dermaga terminal laut dalam Pelabuhan Kuantan sepanjang satu kilometer itu akan dapat meningkatkan kapasiti kargo sebanyak 20 juta tan.

"Ia akan meningkatkan pelaburan serta kegiatan import dan eksport di Kuantan, selain kedudukan Pelabuhan Kuantan di Laut China Selatan menjadikannya sebagai laluan penting ke Jepun dan China.

"Ketika ini, urusan berkaitan pembesaran Pelabuhan Kuantan dalam perbincangan yang diharap dapat dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 5:56 PM