GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Leftenan Komander Farizha Ibrahim

Sektor maritim memainkan peranan penting dalam menjana kemakmuran sesebuah negara. Melihat kepada sejarah maritim negara yang panjang, pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, aktiviti ekonomi utamanya adalah perdagangan dan ia adalah hasil aktiviti maritim yang aktif pada waktu itu dengan pedagang dari Timur serta Barat singgah berdagang.

Kehadiran pedagang dari seluruh dunia ini memberikan nilai tambah kepada kerajaan dan rakyat Melaka ketika itu. Rakyat dapat melaksanakan aktiviti perniagaan dengan lancar dan kerajaan dapat memungut hasil cukai pedagang.

Kerajaan Melaka ketika itu makmur dan mewah sehingga dapat mengembangkan empayar jajahannya ke sekitar Nusantara.

Pada masa kini, kita rujuk kepada negeri yang mempunyai kemudahan pelabuhan yang mampu menguruskan dermaga besar mempunyai nilai pendapatan perkapita yang lebih tinggi berbanding negeri lain yang tiada kemudahan pelabuhan.

Berdasarkan rekod 10 tahun bermula 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020, Selangor mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi dengan hasil utamanya adalah perindustrian yang dijana oleh fasiliti pelabuhan dan dermaga yang baik di Pelabuhan Klang.

Kemudahan pengangkutan ini menarik minat pelabur untuk melabur di negeri itu kerana kemudahan pengangkutan maritim dan udara yang baik sebagai antara faktor utama.

Untuk mencapai kelestarian dan kemakmuran negara, sektor maritim memainkan peranan amat penting. Ia didorong data dikeluarkan Majlis Perkapalan Sedunia dan laporan Persidangan Mengenai Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), lebih 80 peratus perdagangan dunia melalui laut.

Ini menunjukkan sektor maritim memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekonomi penduduk dan negara keseluruhannya. Ia menjadi pemangkin dalam mendorong kemajuan sesebuah negara.

Hakikatnya 17 Sustainable Development Goal (SDG) untuk bidang maritim yang dikeluarkan oleh International Maritim Organisation (IMO) melalui Sustainable Development Agenda 2030 secara kolektif merangka di semua peringkat termasuk kerajaan, masyarakat umum dan sektor swasta untuk menangani isu pembangunan lestari.

Daripada 17 SDG ini, SDG 8 (Pekerjaan yang Sesuai dan Pembangunan Ekonomi) mendapat sumbangan terbesar daripada industri maritim iaitu 27 peratus berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Xueqin Wang pada 2020. Kajian ini dilaksanakan menggunakan kaedah text mining dan analisis kandungan daripada laporan kelestarian yang dikeluarkan oleh firma maritim terbesar dunia.

Menerusi kajian ini, kita simpulkan bahawa sumbangan terbesar sektor maritim adalah memberi peluang pekerjaan dan membangunkan ekonomi negara.

Limpahan hasil daripada sektor maritim menjamin kelestarian dan kemakmuran negara dengan perancangan mampan. Pembangunan 31 pelabuhan di seluruh negara iaitu tujuh pelabuhan Persekutuan utama iaitu Pelabuhan Klang, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Kemaman.

Pelabuhan di Sabah dan Sarawak pula tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri terbabit. Pelabuhan ini dibina untuk merancakkan aktiviti ekonomi terutama industri di sekitarnya dengan menyediakan akses kepada jaringan pengangkutan baik. Ia akan membolehkan sektor ekonomi setempat berkembang ke peringkat nasional dan global.

Projek yang dirancang untuk merancakkan sektor pengangkutan maritim seperti East Coast Rail Link (ECRL) dijangka meningkatkan kapasiti perdagangan menggunakan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan. ECRL akan melancarkan pergerakan kargo dalam negara.

Begitu juga syarikat perkapalan dari seluruh dunia dijangka menggunakan kemudahan ini dengan kelebihan menjimatkan tempoh pelayaran sehingga 30 jam tanpa perlu melalui Selat Singapura. Ia dapat dilaksanakan apabila kargo didaratkan di Pelabuhan Klang dan dipindahkan ke Pelabuhan Kuantan menggunakan ECRL ini sebelum dibawa ke destinasi berikutnya menggunakan kapal.

ECRL dilihat mampu mengurangkan jurang ekonomi di antara pantai barat dan pantai timur dan melonjakkan kadar pertumbuhan negeri itu.

Jelas sektor maritim memberi sumbangan besar kepada SDG 8 iaitu peluang pekerjaan dan menjana pembangunan ekonomi. Ia menyediakan peluang kerja yang luas dengan membangunnya sektor perindustrian hasil jaringan pengangkutan antarabangsa yang baik.

Sebagai contoh di Selangor sahaja, terdapat 228 kawasan perindustrian di bawah seliaan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri. Sektor perindustrian ini sukar untuk berkembang maju sekiranya jaringan pengangkutan tidak mampu mengangkut barangan yang dihasilkan ke peringkat global dengan lancar.

Perkembangan sektor industri ini turut memberikan limpahan peluang pekerjaan begitu juga dengan sektor pengangkutan maritim, pengangkutan darat dan perkhidmatan lain yang berhubung kait.

Sektor pengangkutan maritim perlu diberikan penekanan yang serius oleh kerajaan dan pemain industri agar ekonomi dapat berkembang secara berterusan dan mampu bertahan dalam era konflik seperti krisis ekonomi dan juga kesihatan seperti penularan wabak Covid-19 sekarang.

Latihan dan pendidikan di bawah seliaan badan berautoriti seperti Jabatan Laut perlu diperkemas dan diperluaskan lagi jangkauannya membabitkan masyarakat di kawasan pedalaman. Promosi kerjaya bidang maritim agak kurang menyebabkan potensi penggiat sektor maritim tidak dapat dicungkil secara keseluruhan.

Daripada aspek sokongan sumber manusia ia adalah satu kerugian apabila industri maritim negara tidak didominasi rakyat tempatan kerana kitaran ekonomi dalam negara akan bocor ke negara lain jika kita menggunakan tenaga kerja asing. Polisi, peraturan dan penguatkuasaan perlu diperkemaskan bagi mengelakkan terus memberikan kesan negatif kepada sosioekonomi negara.


Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:00 AM