Awak-awak bot kargo warga Vietnam yang ditahan. FOTO Rosli Ilham
Awak-awak bot kargo warga Vietnam yang ditahan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo nelayan Vietnam, kira-kira 74 Batu Nautika dari Kuala Kemaman, pada Ahad.

Bot kargo itu dipercayai menjadi 'mothership' atau kapal induk untuk memungut hasil laut yang dirompak bot nelayan Vietnam di perairan negara berjaya ditahan jam 2 petang.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, hasil pemeriksaan di atas bot itu menemukan 12 awak-awak termasuk seorang tekong berusia 23 hingga 47 tahun dan kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kita percaya bot kargo ini menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan Vietnam berikutan penemuan plat nombor pendaftaran asalnya di dalam bot berkenaan." katanya pada sidang akhbar di Zon Maritim Kemaman, hari ini.

Rashidilhadi berkata, tiga peti sejuk beku yang ditemui di atas bot kargo itu mampu menyimpan sehingga 10 tan hasil laut.

"Kita percaya bot yang ditahan ini juga bertindak sebagai 'mothership' dengan bertindak memungut hasil laut daripada nelayan asing lain yang turut merompak hasil laut negara.

"Hasil semakan daripada GPS dalam bot berkenaan mendapati, bot ini beroperasi di sekitar pantai timur semenanjung iaitu bermula dari Johor hingga ke Kelantan," katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan sama ada nelayan tempatan turut terbabit dalam urusan menjual hasil laut kepada bot terbabit.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya berjaya merampas empat tan sotong basah, bekalan diesel dianggarkan 1,000 liter dan kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM2 juta.

Katanya, kesemua nelayan yang ditahan itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman dan sudah menjalani saringan Covid-19 sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (i) (a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 4:47 PM