Robert (tengah) bersama wang tunai yang ditemui dalam kapal kargo, Isnin lalu. FOTO Rosli Ilham
Robert (tengah) bersama wang tunai yang ditemui dalam kapal kargo, Isnin lalu. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas wang tunai berjumlah RM3.32 juta daripada sebuah kapal kargo yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak kira-kira 126 batu nautika dari Kuala Kemaman, Isnin lalu.

Wang tunai berkenaan ditemui dibungkus dalam plastik tebal ketika pemeriksaan dijalankan selepas menahan bot terbabit pada 4.15 petang.

Pegawai Memerintah KM Pekan, Kepten (Maritim) Robert Teh Geok Chuan berkata, sebelum itu kapal ronda APMM terserempak dengan kapal kargo yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Menurutnya, kapal kargo berkenaan bertindak melarikan diri ketika dihampiri APMM untuk dibuat pemeriksaan.

"Kapal ronda kita terus mengejarnya dan berjaya menahan kapal kargo terbabit yang mempunyai tujuh anak kapal termasuk seorang nakhoda berusia antara 22 hingga 62 tahun dipercayai warga Thailand.

"Kesemua mereka itu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan kapal terbabit juga tidak ada dokumen pendaftaran," katanya ketika sidang media di Pangkalan Maritim Kemaman, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kapal itu kemudiannya menemui sejumlah wang tunai iaitu sejumlah RM3.01 juta dalam mata wang ringgit Malaysia dan dolar Singapura sebanyak RM326,000.

Katanya, rampasan berkenaan adalah yang terbesar APMM dan wang terbabit berkenaan dipercayai adalah hasil aktiviti haram penyeludupan minyak yang dijalankan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 7:13 PM