Samaniah menunjukkan produknya ketika temu ramah Harian Metro di Taman Perindustrian IKS, Mukim Batu, Kuala Lumpur.
Samaniah menunjukkan produknya ketika temu ramah Harian Metro di Taman Perindustrian IKS, Mukim Batu, Kuala Lumpur.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Mubiplas Industries Sdn Bhd (Mubiplas Industries), syarikat pengeluar plastik tempatan, melabur RM2 juta sebagai perbelanjaan modal (capex) untuk membuka kilang baharu Oktober ini bagi menampung pengeluaran produk plastik bersaiz besar.

Kilang baharu yang terletak di Kemaman, Terengganu itu bakal menempatkan tiga mesin pengeluaran berkapasiti tinggi dengan teknologi terkini yang dikendalikan 15 pekerja. Ia dijangka dapat menghasilkan 30 tan metrik plastik setiap bulan.

Pengarah Urusannya, Samaniah Musa berkata, ia juga sebahagian daripada pelan perancangan strategik syarikat untuk meneroka pasaran plastik, sekali gus meletakkan Mubiplas Industries sebagai syarikat pengeluar plastik Bumiputera kukuh.

“Dengan adanya kilang baharu ini, ia membolehkan kami mengeluarkan produk plastik pembungkusan lebih besar dan meluaskan segmen operasi perniagaan untuk menarik lebih banyak syarikat dan usahawan membeli plastik daripada Mubiplas Industries.

“Malah, kami yakin mampu mencatat pertumbuhan kukuh tahun ini kerana konsep produk kami adalah barangan pakai buang dan sering mendapat pembelian semula daripada pelanggan. Produk plastik juga adalah polimer yang sangat fleksibel. Justeru, tiada istilah buang dan pencemaran dalam industri plastik kerana ia boleh dikitar semula,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Mubiplas Industries, syarikat pengeluar plastik Bumiputera yang menghasilkan pelbagai jenis plastik meliputi botol plastik untuk ubat-ubatan, minyak, baja dan minuman serta produk plastik seperti pinggan, cawan, plastik sampah, beg ubat berzip dan beg poli yang mudah untuk dikitar semula.

Setelah 10 tahun Mubiplas Industries beroperasi, kini ia mempunyai pelanggan yang juga terdiri daripada syarikat besar antaranya Radicare (M) Sdn Bhd, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang sentiasa menyokong syarikat berkenaan dalam industri ini.

Selain itu, syarikat berkenaan yang juga dibantu Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan margin keuntungan 10 peratus pada setiap tahun dalam meletakkan Mubiplas Industries sebagai syarikat yang aktif dan tumbuh dengan cemerlang dalam ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 7:49 AM